Sampan mangsa (warna biru) ditemui di kuala Panchor, Pantai Remis, di Manjung. FOTO IHSAN BOMBA
Sampan mangsa (warna biru) ditemui di kuala Panchor, Pantai Remis, di Manjung. FOTO IHSAN BOMBA
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Manjung: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sampan ketika mencari kerang di Kuala Panchor, Pantai Remis, di sini, hari ini ditemukan lemas.

Mayat Shahril Daud, 33, ditemukan pada 7 malam oleh nelayan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis Mohd Akmal Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.35 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh dari sampan pada 1.30 tengah hari.

"Sampan itu ditemukan kira-kira 1.5 batu nautika dari jeti. Operasi dilakukan dalam radius pencarian 500 meter daripada lokasi sampan mangsa ditemukan sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan terapung.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada 7.38 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 10:42 PM