Sekumpulan anjing liar yang berkeliaran merisaukan penduduk di Taman Puncak Saujana, Seksyen 3. FOTO SAMADI AHMAD.
Sekumpulan anjing liar yang berkeliaran merisaukan penduduk di Taman Puncak Saujana, Seksyen 3. FOTO SAMADI AHMAD.
Samadi Ahmad

Kajang: Buru kucing dan gigit sampai mati. Itu antara kegiatan sekumpulan lebih 10 anjing liar di Taman Puncak Saujana, Seksyen 3 di sini, hingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

Difahamkan beberapa ekor bangkai kucing ditemui berteraburan di beberapa lokasi dengan ada antaranya terburai isi perut akibat dibaham anjing.

Penduduk yang juga kakitangan kerajaan, Mohd Zamri Abdullah, 44, berkata, dia melihat beberapa ekor kucing dikejar dan dibunuh anjing liar itu baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian ini menggambarkan betapa ganasnya anjing berkenaan hingga menyebabkan dia bimbang keselamatan kanak-kanak ketika berada di luar rumah.

"Sebelum ini penduduk sudah banyak kali membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) namun jumlah anjing liar itu semakin bertambah," katanya tadi.

Tinjauan wartawan Harian Metro ke kawasan itu semalam jelas mendapati kehadiran 10 ekor anjing liar berkeliaran di kawasan perumahan itu.

Terdapat seekor kucing dalam keadaan perut terburai di hadapan rumah salah seorang penduduk

Seorang lagi penduduk, Saiful Rizal Samsuddin, 43, berkata, MPKJ perlu mencari langkah terbaik untuk menangani masalah itu kerana bimbang ia boleh membahayakan keselamatan penduduk dan orang ramai.

"Masalah anjing liar perlu ditangani segera. Janganlah sampai ada mangsa di kalangan kanak-kanak, barulah tindakan akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 8:14 PM