Redzuan Muharam


Shah Alam: Ilmu dimiliki sepanjang tujuh tahun menuntut di Madrasah Darul Uloom Zakariyya, Johannesburg, Afrika Selatan tidak disia-siakan sebaliknya dimanfaatkan Abdul Qawiy Abd Rashit dengan membuka kelas mengaji secara dalam talian.

Abdul Qawiy, 24, berkata, kelas mengaji dalam talian itu dibuka sejak April lalu dengan kira-kira 35 pelajar yang kebanyakannya terdiri dalam kalangan pengikutnya di TikTok.

Anak ketiga daripada empat adik beradik yang menetap di Seksyen 19, di sini, berkata, dia sebelum ini menjalankan perniagaan kosmetik di samping mengajar mengaji secara bersemuka dengan pergi rumah ke rumah.

"Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan pergerakan terhad jadi saya tidak dapat meneruskan aktiviti mengajar secara bersemuka.

"Jadi, masa terluang sewaktu tempoh PKP lalu saya gunakan dengan mengaji secara langsung (live) di TikTok.

"Tak sangka pula, siaran langsung itu dapat sambutan dengan pada mulanya hanya 10 orang saja menonton tetapi kini mencecah 1,400 pada satu-satu masa. Lucunya apabila ada yang menyamakan saya dengan penyanyi Rap, MK K-Clique dan minta saya rap ketika bersiaran langsung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, kelas mengaji dalam talian juga diwujudkan atas permintaan pengikutnya di TikTok.

Katanya, selain Malaysia, ada juga pengikut dari Singapura, Indonesia dan Kyrgyzstan yang mendaftar bagi mengikuti kelas mengaji kendaliannya.

"Alhamdulillah, seronok apabila ramai berminat untuk belajar mengaji kerana asalnya, saya hanya ada dua pelajar tetapi kini bertambah.

ABDUL Qawiy ketika mengimamkan solat sunat Aidilfitri di Passo Fundo, Brazil. FOTO ihsan pembaca
ABDUL Qawiy ketika mengimamkan solat sunat Aidilfitri di Passo Fundo, Brazil. FOTO ihsan pembaca

"Ramai lagi berminat turut serta cuma saya terpaksa letakkan mereka dalam senarai menunggu kerana hanya dapat menerima 35 pelajar yang mengikuti tiga sesi kelas pada sebelah pagi, petang dan malam dari Isnin hingga Jumaat.

"Paling seronok dan buat saya tersentuh apabila berpeluang mengajar warga emas berusia 64 tahun," katanya yang juga salah seorang imam di Masjid Al-Ubudiah, Seksyen 19, di sini.

Berkongsi latar belakang, Abdul Qawiy berkata, dia bersekolah sehingga Tahun Empat sebelum dimasukkan ke Madrasah Nurul Ilmu di Seksyen 9, di sini dan ssudah menghafaz Al-Quran pada usia 13 tahun.

"Pada usia 14 tahun, saya dihantar ke madrasah dekat Johannesburg dan pulang ke tanah air tiga tahun lalu.

"Banyak pengalaman sepanjang merantau tetapi antara yang tidak dapat dilupakan adalah apabila ditawarkan menjadi imam solat tarawih di Paris, Brazil dan Afrika Selatan.

"Ada juga terima tawaran dari London, United Kingdom (UK) tetapi terpaksa ditunda dahulu dan kemungkinan ke sana tahun depan," katanya yang berhasrat mengembangkan lagi kelas mengaji kendaliannya dengan penyertaan rakan ustaz.

ABDUL Qawiy membimbing pelajar mengaji secara dalam talian sejak April lalu. FOTO ihsan pembaca
ABDUL Qawiy membimbing pelajar mengaji secara dalam talian sejak April lalu. FOTO ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 7:08 PM