Ahmad Zahid pada sidang media selepas melancarkan Jentera PRN UMNO Melaka di Kampung Pulau, Masjid Tanah, hari ini, FOTO AMIR MAMAT
Ahmad Zahid pada sidang media selepas melancarkan Jentera PRN UMNO Melaka di Kampung Pulau, Masjid Tanah, hari ini, FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat
am@hmetro.com.my


Masjid Tanah: Pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini akan dimuktamadkan sedikit masa lagi.

Sehubungan itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan mana-mana pihak termasuk penganalisis politik untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menelah mengenai pendirian parti itu pada pilihan raya kelak.

"Setakat ini kami memfokuskan kepada kebolehmenangan calon kami di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan kepada sains dan data angka diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan Ke-14 lalu. Ia turut bersandarkan unjuran yang kita buat untuk PRN Melaka ini.

"Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelah dimanakah pendirian UMNO dan BN dalam menghadapi PRN ini. Keputusan muktamad (kerjasama) ini akan diumumkan apabila mesyuarat Biro Politik dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN minggu depan atau sebelum hari penamaan calon nanti," katanya selepas melancarkan jentera pilihan raya UMNO negeri di Kampung Pulau, di sini, tadi.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima pandangan mengenai kerjasama politik dalam PRN itu, namun segala keputusan akan diputuskan secara kolektif apabila tiba masanya.

Sementara itu, beliau mengarahkan semua jentera parti digerakkan bermula hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan pengundian umum semalam.

Katanya, bagi melancarkan pergerakan kempen dalam kalangan petugas parti di negeri ini, UMNO menetapkan untuk menempatkan jentera dan petugas parti dari negeri lain di setiap kawasan DUN yang ditandingi UMNO serta BN.

"Pada kali ini, PRN Melaka tentunya menyaksikan suatu landskap baharu yang dilakarkan berdasarkan kepada situasi politik semasa.

"Bagi saya, semua kawasan DUN di Melaka ini sebagai `panas' dan kita akan bekerja keras di kawasan berkenaan bagi memastikan kemenangan cemerlang pada PRN nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 5:42 PM