Suhaidi ketika melakukan tugasnya menguruskan jenazah Covid-19. FOTO IHSAN SUHAIDI SUJAK
Suhaidi ketika melakukan tugasnya menguruskan jenazah Covid-19. FOTO IHSAN SUHAIDI SUJAK
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: "Sepanjang menguruskan jenazah pesakit Covid-19, saya tidak dapat lupa jenazah bayi perempuan yang dilahirkan melalui pembedahan. Sayu hati ketika mendukungnya kerana ibu bapanya turut dijangkiti Covid-19," kata Suhaidi Sujak, 52.

Penerima Anugerah Sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M Kedah (kategori Sukarelawan) itu berkata, dia terharu dipilih menerima anugerah itu walaupun berasakan yang sumbangannya tidak sebesar mana berbanding petugas barisan hadapan lain.

Katanya, dia menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada 1 Jun lalu, dan terbabit menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dalam pelbagai suasana, terutama apabila membabitkan jenazah bayi.

"Ada bayi yang saya kebumikan tidak diiringi sesiapa selepas semua ahli keluarganya dijangkiti Covid-19. Ada juga kes, ibu meninggal namun bayi dapat diselamatkan selain ibu dan anak meninggal dunia akibat Covid-19.

"Ada juga kes, kami menunggu di tanah perkuburan, namun jenazah tidak sampai kerana waris gagal mendapatkan van jenazah. Jadi, saya ambil inisiatif memohon kepada masjid di kariah saya di Lubuk Kawah, Jitra bagi menggunakan van jenazah sebelum pengebumian dapat diselesaikan.

"Van jenazah itu kemudian turut dapat diguna ahli keluarga pesakit Covid-19 lain yang sukar mendapatkan perkhidmatan berkenaan terutama ketika berlaku banyak kematian sekitar Jun dan Julai lalu," katanya dihubungi hari ini.

Suhaidi yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Darul Aman, Jitra berkata, dia terpanggil melakukan tugas sukarelawan selepas melihat situasi Covid-19 negara yang kritikal pada pertengahan tahun lalu.

Katanya, sehingga kini, dia sudah menguruskan 174 pengebumian pesakit Covid-19 dan bersyukur dilindungi Allah SWT daripada jangkitan virus itu.

"Paling banyak, dalam sehari, saya dan pasukan pernah uruskan enam jenazah. Kami bekerja siang dan malam, malah sehingga lewat pagi bagi memastikan jenazah dapat dikebumikan dengan sempurna.

"Saya kerap tidur di asrama pejabat APM Anak Bukit sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak ahli keluarga dijangkiti Covid-19 selain memastikan dapat segera menguruskan jenazah," kata bapa kepada 10 anak itu.

Suhaidi berkata, walaupun sibuk menguruskan jenazah, dia tidak pernah lupa melakukan tugas hakikinya sebagai guru matapelajaran Sains Komputer apabila masih meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk pelajarnya.

Suhaidi antara tujuh penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul pada majlis sambutan yang disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah secara maya hari ini.

Pada sambutan itu, bekas Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah Mohd Zaki Husin, 63, diumumkan sebagai Tokoh Utama Anugerah Maulidur Rasul atas jasa dan sumbangannya dalam bidang pendidikan.

Mohd Zaki yang pernah bertugas sebagai Atase Pendidikan Kedutaan Malaysia di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada 2005, kini dilantik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebagai Pengetua Maahad Dini Sultan Abdul Halim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 3:43 PM