Rokok tidak bercukai yang disembunyikan dalam bengkel di Kampung Cina, Jalan Agaseh, Lahad Datu.
Rokok tidak bercukai yang disembunyikan dalam bengkel di Kampung Cina, Jalan Agaseh, Lahad Datu.
Juwan Riduan

Lahad Datu: Cubaan penyeludup menyembunyikan rokok tidak bercukai di sebuah bengkel di Kampung Cina, Jalan Agaseh, di sini, bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Op Kontraban oleh Batalion 17 PGA Lahad Datu pada 11.30 malam itu ditemukan 3,090 karton rokok tanpa cukai dipercayai bernilai RM474,084 berdasarkan harga pasaran semasa.

Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi itu yang dijalankan hasil maklumat awam dan risikan serta pemantauan di lokasi.

Bagaimanapun, katanya, tiada sesiapa yang menghampiri atau mengawasi barangan seludup yang ditinggalkan di premis erkenaan.

"Selepas pemerhatian, pasukan operasi memecah masuk ke dalam bengkel dan ditemukan 141 plastik hitam mengandungi rokok.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan berkenaan mengandungi rokok pelbagai jenama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rani berkata, semua rokok tanpa cukai berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 2:37 PM