GUAN Eng (tengah) pada sidang media di Pejabat DAP Melaka hari ini. FOTO Amir Mamat
GUAN Eng (tengah) pada sidang media di Pejabat DAP Melaka hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: DAP memutuskan Datuk Norhizam Hassan Baktee tiada tempat dalam mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bertegas menolak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu itu sebagai calon mewakili gabungan parti pembangkang itu.

"Kita akan bawa perkara ini dalam perbincangan Majlis Presiden PH nanti. Saya dengan tegas menyatakan DAP menolak sama sekali (bekas) YB Pengkalan Batu sebagai calon dalam PRN akan datang.

"Ini dijadikan sebagai satu keputusan tegas, kita tak terima dia (Norhizam) sebagai calon," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan DAP Melaka di Lorong Pandan, di sini hari ini.

Ditanya alasan mengenai keputusan itu, Guan Eng berkata, enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mahu sebutlah (alasan itu), saya mahu sebut ini saja. Cukuplah, tak perlu pergi kepada asal-usul beliau, semua orang tahu.

"Saya hanya mahu nyatakan, DAP tak terima dia sebagai calon dalam PRN, itu saja," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas mengenai tiga lagi bekas Adun bersama Norhizam yang menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Norhizam menang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Batu atas tiket DAP, namun menjadi Adun Bebas dan memberi sokongan kepada Umno serta Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan baharu pada Mac tahun lalu.

Sementara itu, Guan Eng berkata, DAP menetapkan pendirian menyokong bekas Adun Bukit Katil, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri baharu sekiranya memenangi PRN akan datang.

"PH menyatakan sokongan kepada Adly sebagai calon Ketua Menteri dan saya harap tidak ada apa-apa kesangsian mengenai perkara ini.

"Keputusan ini bukan hanya daripada DAP, tetapi parti komponen lain turut menyokong Adly kerana semasa menjadi Ketua Menteri sebelum ini, beliau sudah menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 1:22 PM