SULTAN Sallehuddin bertitah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M Peringkat Negeri Kedah.Foto ihsan Pejabat SUK
SULTAN Sallehuddin bertitah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M Peringkat Negeri Kedah.Foto ihsan Pejabat SUK
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru umat Islam agar membudayakan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan termasuk dalam mencegah pandemik Covid-19.

Titah baginda, sunnah adalah merupakan jalan atau kehidupan yang merangkumi percakapan, perbuatan, peribadi dan akhlak Nabi Muhammadyang disampaikan melalui melalui persetujuan oleh para sahabat Baginda.

Titahnya, sunnah adalah bersifat komprehensif, memiliki keseimbangan dan bersifat realiti dengan meraikan segala yang berkaitan seperti keperluan dan keinginan manusia.

"Sesungguhnya, setiap perkara yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW itu kekal relevan pada setiap zaman dan keadaan contohnya ketika pandemik Covid-19, terdapat kaedah-kaedah pencegahan untuk menangani penularan wabak ini telah dinyatakan di dalam hadis Nabi Muhammad.

"Hakikat virus ini adalah sejenis wabak yang berjangkit, pakar-pakar yang berautoriti telah menyarankan kaedah-kaedah pencegahan yang selari dengan ajaran Rasulullah iaitu pencegahan penyakit melalui udara, titisan air dan sentuhan.

"Amalan kuarantin juga merupakan adaptasi daripada hadis riwayat Al-Bukhari yang bermaksud: 'Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut, janganlah kamu keluar dari situ.'

"Oleh yang demikian, jelaslah bahawa sunnah yang diajarkan baginda membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada kehidupan di akhirat malahan kehidupan di dunia ini," titah baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M Peringkat Negeri Kedah yang diadakan secara dalam talian di sini, hari ini.

Sultan Sallehuddin, turut bertitah agar rakyat sentiasa bekerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai strategi untuk peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik ini.

Titahnya, lagi pematuhan itu penting demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negeri ini secara berterusan sepanjang masa.

"Orang yang sentiasa memerhati serta menekuni, kehidupan Nabi Muhammad dan sirahnya akan sentiasa terpandu ke arah kebaikan dan kesempurnaan kehidupan.

"Rakyat juga hendaklah mengukuhkan perpaduan sesama kita, dan membudayakan nilai-nilai murni, selaras dengan garapan akhlak terpuji ajaran Nabi Muhammad SAW," titah baginda.

Dalam sambutan Malidur Rasul kali ini, baginda juga perkenan menganugerahkan Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah dan para penerima Anugerah Khas, yang terdiri daripada petugas-petugas barisan hadapan serta individu yang memiliki suri teladan positif yang boleh dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 11:00 AM