Murid tingkatan enam sudah kembali ke sekolah. FOTO NSTP
Murid tingkatan enam sudah kembali ke sekolah. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) amat berharap guru yang enggan menerima vaksin tanpa alasan kesihatan supaya akur demi kemaslahatan ekosistem pendidikan negara.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, sebagai penjawat awam, mereka perlu mengutamakan kepentingan negara dari kepentingan diri sendiri.

"Kami (i-Guru) amat berharap guru dapat menerima vaksin dengan rela hati untuk kepentingan ekosistem pendidikan negara.

"Mereka tidak seharusnya memberikan pelbagai alasan enggan divaksin kerana ramai kalangan guru yang sudah berbuat demikian (divaksin).

"Sebagai penjawat awam, kita ada tanggungjawab terhadap masyarakat dan dalam masa sama perlu mengutamakan kepentingan negara," katanya tadi.

Dalam laporan media sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekal dengan pendirian untuk memindahkan guru yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Dr Mah berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tidak terjejas dan sebagai penjawat awam, guru harus akur kepada ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai syarat vaksinasi lengkap pada pegawai perkhidmatan awam.

Menerusi syarat ditetapkan itu, pegawai perkhidmatan awam termasuk guru dikehendaki segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 November ini.

Dalam pada itu, Mohd Azizee berkata, pihaknya berharap KPM dapat menangani guru yang enggan menerima vaksin secara berhemah dan berhikmah.

Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana pihaknya ada menerima beberapa aduan bahawa mereka diberikan tekanan dan diskrimasi dari pihak pentadbiran dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD).

"Kami yakin bahawa jalan dialog, perundingan dan kaunseling adalah cara terbaik menangani isu ini dan pendekatan menekan adalah langkah terakhir setelah tiada jalan penyelesaian.

"Begitu pun, kami yakin KPM mempunyai pendekatan terbaik dalam menangani masalah ini yang akhirnya membawa kebaikan kepada semua pihak," katanya.

Katanya, difahamkan sekitar 2,000 guru enggan divaksin berbanding seramai 415,000 guru secara keseluruhan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 5:13 PM