Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Lebih 32,000 kenderaan masuk ke Kelantan sehingga semalam menerusi tiga pintu masuk di sempadan negeri itu iaitu di Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua kenderaan itu membabitkan penduduk Kelantan yang berada di luar dan juga pelancong.

Menurutnya, berlaku juga pertambahan kenderaan termasuk di bandar Kota Bharu, namun masih tidak berlaku kesesakan memandangkan semua pengguna membuat jadual perjalanan masing-masing.

"Hasil pemantauan kita mendapati, pertambahan kenderaan ini juga menyebabkan pusat pelancongan di Kelantan kembali meriah.

"Kita dapati orang ramai mula mengunjungi pusat peranginan sekali gus menggalakkan industri pelancongan negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Keadaan aliran trafik menuju ke pusat bandar Kota Bharu di Jalan Kuala Krai semalam. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Keadaan aliran trafik menuju ke pusat bandar Kota Bharu di Jalan Kuala Krai semalam. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata, pihak polis sentiasa membuat pemantauan di tempat awam untuk memastikan semua pengunjung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Shafien berkata, pihaknya turut memberi nasihat kepada pengunjung supaya patuh SOP dan jika mereka melanggarnya, polis tidak akan berkompromi.

"Kita harap masyarakat negeri ini sama-sama bantu dan bertanggungjawab untuk menjaga diri bagi menurunkan kes Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 3:10 PM