PERKONGSIAN Pakar Bedah Bariatrik, Dr Mustafa mengenai perut dan kaitannnya dengan kesihatan baru-baru ini. FOTO ihsan Dr Mustafa Mohammed Taher.
PERKONGSIAN Pakar Bedah Bariatrik, Dr Mustafa mengenai perut dan kaitannnya dengan kesihatan baru-baru ini. FOTO ihsan Dr Mustafa Mohammed Taher.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Siapa cakap penyakit ikut saiz badan. Realitinya sekarang, ada individu cuma 60 atau 70 kilogram (kg) tetapi kantung perut lebih besar daripada orang yang mempunyai berat 100 kg. Itu bahaya," kata Pakar Bedah Bariatrik dari Pusat Perubatan Cengild, Dr Mustafa Mohammed Taher.

Perkongsian Dr Mustafa di Instagram (IG) baru-baru ini yang kemudiannya tular di Twitter menarik perhatian netizen apabila menjelaskan berat badan seseorang individu bukan penentu mereka ada atau bebas daripada sesuatu penyakit.

Sebaliknya, ada individu berbadan kecil mempunyai penyakit kronik kerana memiliki perut bersaiz besar.

"Berat badan kita bukan penentu kesihatan kita tetapi perut seseorang boleh memberi petunjuk mereka ada penyakit atau sebaliknya.

"Saiz perut itu dipengaruhi dengan cara, jenis dan berapa banyak mereka makan pada pagi, petang dan malam.

"Ada pesakit datang kepada saya mengatakan berat badan mereka tidak berat sangat, hakikatnya dia ada banyak penyakit. Kadang kala, mereka yang ada berat badan 70 ke 80 kg ada penyakit.

"Jadi perkongsian saya tempoh hari sekadar untuk berkongsi ilmu dan menjelaskan kekeliruan serta salah faham. Selalunya kita ambil kira bacaan kombinasi berat badan dan ketinggian (BMI), paling ringan itu secara luaran nampak kecil mungkin kerana dia sangat tinggi orangnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dr Mustafa, perut seseorang tidak boleh diukur secara fizikal.

"Saiz perut adalah menerusi ujian sinaran X (X-ray) atau imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

"Bagaimanapun, saiz ukuran sebenar tidak boleh diketahui dengan tepat menerusi ujian itu, cuma anggaran saja kerana perlu lakukan pembedahan untuk mengetahuinya.

"Ini kerana pada waktu itu barulah dapat mengukur saiz sebenar," katanya yang mesra disapa Pak Long.

Dr Mustafa berkata, kos pembedahan bariatrik juga bukan tertakluk kepada berat badan seseorang.

"Kurus atau besar bukan ukuran kos pembedahan. Pesakit perlu diperiksa terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan dan keperluan mereka sebelum menjalani pembedahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 8:19 PM