ANTARA warga Indonesia yang diusir ketika cuba menyusup masuk ke Sarawak. FOTO ihsan ATM
ANTARA warga Indonesia yang diusir ketika cuba menyusup masuk ke Sarawak. FOTO ihsan ATM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 12 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang berjalan masuk ke Sarawak melalui lorong tikus di kawasan Tebedu, di sini, diusir Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Pati terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita serta tiga kanak-kanak lelaki dikesan memasuki Malaysia dari arah Indonesia.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam satu kenyataan berkata, semua 12 warga asing terbabit ditahan ketika pegawai dan anggotanya sedang melaksanakan serkap di kawasan persempadanan Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia.

"Selepas disoal siasat, semua mereka berusia antara empat hingga 45 tahun didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan di negara ini. Mereka diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, pelbagai taktik dan kaedah digunakan Pati untuk masuk ke Malaysia termasuk cubaan menyelinap pada awal pagi namun berjaya digagalkan.

"Impak pandemik wabak Covid-19, menyebabkan kes-kes membabitkan Pati cuba masuk mencari pekerjaan di Sarawak dilihat semakin meningkat.

"Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan terus kekal siaga dan beriltizam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 7:58 PM