Zarina (tengah) bersama RSK menanti pelajar mendaftar di Dewan Tuanku Canselor. FOTO ihsan UPSI
Zarina (tengah) bersama RSK menanti pelajar mendaftar di Dewan Tuanku Canselor. FOTO ihsan UPSI
Murnaena Muhammad Nasir
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seramai 1,547 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula kembali ke kampus untuk meneruskan pengajian bagi sesi akademik 2021/2022.

UPSI dalam satu kenyataan media berkata, kepulangan penuntut dan kehadiran ibu bapa hari ini disambut Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman, Prof Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan serta pengetua dan felo kolej kediaman.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, semua penuntut yang terpilih dibenarkan kembali ke kampus perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya mengucapkan selamat kembali kepada semua penuntut ijazah pertama yang terpilih dibenarkan kembali ke kampus dan berharap semua dapat memanfaatkan segala kemudahan universiti.

"Kepada penuntut baharu yang belum dibenarkan kembali ke kampus, mereka perlu selalu berkomunikasi dengan pensyarah masing-masing menerusi pelbagai medium yang ada termasuk WhatsApp, Telegram atau Google Meet," katanya.

Sementara itu, Ketua Timbalan Pendaftar Zarina Mohd Yaacob berkata, sesi pendaftaran dibantu Rakan Suai Kenal (RSK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) bagi melancarkan perjalanan proses pendaftaran semua penuntut termasuk dari Sabah dan Sarawak.

"Penuntut lama boleh mendaftar di perkarangan Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah bermula hari ini sehingga sesi kuliah bermula iaitu pada 18 Oktober.

"Kesemua penuntut ini ditempatkan di kolej kediaman yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 7:45 PM