BERNAMA

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini bersetuju untuk membentuk sebuah pasukan petugas khas bagi memperhalusi perkara berkenaan isu pembiayaan, tenaga kerja dan keperluan lain perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pasukan itu akan membabitkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian lain berkaitan.

"Pasukan petugas khas ini akan membentangkan kajian terperinci dan syor-syor dalam masa sebulan kepada majlis untuk pertimbangan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Lanai Kijang, BNM di sini, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat hari ini memberikan fokus kepada dua kumpulan paling terjejas akibat pandemik Covid-19 iaitu PKS dan golongan rentan.

"Dalam hubungan ini majlis membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan berhubung isu kecairan dan kekurangan tenaga kerja serta pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan," katanya.

Muhyiddin berkata, MPN berpandangan satu analisis terperinci perlu dibuat untuk memastikan industri terkesan berdasarkan statistik terkini dikenal pasti bagi memastikan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Ini mengambil kira pelbagai bantuan dan inisiatif sedia ada berkaitan kewangan dan penyediaan tenaga kerja kepada PKS di bawah pelbagai kementerian dan agensi.

Katanya, MPN juga bersetuju supaya agihan bantuan makanan kepada golongan rentan perlu lebih berpendekatan Seluruh Negara (whole of nation) dengan peranan pertubuhan bukan kerajaan perlu diperkasa.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah beberapa ahli MPN iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Tan Sri Tony Fernandes, Datuk Michael Kang serta Datuk Dr Hartini Zainudin, di samping beberapa wakil parti pembangkang yang terdiri daripada Ahli Parlimen Subang Wong Chen (PKR), Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen (DAP), dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 4:21 PM
Muhyiddin bersama ahli jawatan kuasa pemulihan negara selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Ekonomi Negara di Lanai Kijang Bank Negara, Kuala Lumpur.  FOTO HAZREEN MOHAMAD
Muhyiddin bersama ahli jawatan kuasa pemulihan negara selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Ekonomi Negara di Lanai Kijang Bank Negara, Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD