GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang bersama Jabatan Kesihatan Negeri membuat persediaan bagi pelaksanaan suntikan dos penggalak dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, senarai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk fasiliti hospital serta klinik swasta akan disenaraikan sebagai rujukan umum dan semua janji temu adalah melalui aplikasi MySejahtera.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, rakyat Pulau Pinang termasuk golongan remaja layak diseru untuk walk in (jumpa terus) di PPV berkaitan selewat-lewatnya pada 30 Oktober ini untuk mendapatkan vaksin masing-masing.

"Jangan tunggu sehingga saat-saat akhir kerana PPV beroperasi kini akan ditamatkan tempoh operasi 31 Oktober dan selepas tarikh berkaitan, mereka yang ingin mendapatkan suntikan akan dirujuk ke fasiliti atau institusi perubatan lain.

"Sehingga semalam, sumber dari laman sesawang COVIDNOW menunjukkan bahawa kadar vaksin populasi dewasa 18 tahun ke atas untuk dos pertama adalah berjumlah 96.8 peratus manakala dos kedua adalah 92 peratus.

"Dalam pada itu, bagi golongan remaja 12 hingga 17 tahun kadar suntikan pada tempoh masa sama adalah 86.2 peratus bagi dos pertama dan dos kedua adalah 5.7 peratus," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, bagi memasuki fasa endemik, kerajaan negeri menyeru seluruh rakyat negeri supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) demi diri, orang tersayang dan komuniti secara menyeluruh.

"Umum perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dengan melakukan ujian saringan kendiri sekiranya bergejala dan mengasingkan diri di rumah. Sekiranya gejala bertambah buruk, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

"Sebagai bantuan atau panduan lanjut sekiranya disahkan positif Covid-19, terdapat empat pusat panggilan disediakan hasil usaha sama kerajaan negeri bersama-sama semua pihak di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 3:43 PM