DR Shazli Ezzat Ghazali.
DR Shazli Ezzat Ghazali.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Obses terhadap drama Korea (K-Drama) boleh mendorong masyarakat terutama golongan remaja untuk meniru personaliti, emosi, pemikiran dan tingkah laku.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, kajian mendapati kecenderungan kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada tontonan filem agresif untuk melakukan tingkah laku sama adalah tinggi.

Bagaimanapun, katanya, pembabitan remaja dengan kes bunuh diri banyak bergantung kepada masalah biopsikososial dan pembentukan identiti yang dialaminya.

"Antara faktor yang boleh menyumbang adalah pembangunan nilai nurani yang dibentuk oleh keluarga dan masyarakat sekitar ketika membesar.

"Jika nilai moral dibentuk dalam keluarga itu baik sehingga dapat mengukuhkan kepercayaan pada agama, bangsa dan negara, seseorang tidak akan mudah terikut-ikut dengan jalan cerita drama Korea.

"Jika mereka dibesarkan secara permissif iaitu ahli keluarga tidak peduli, maka apa saja dilihat dalam media massa, media sosial dijadikan panduan membentuk identiti diri. Secara tidak langsung mudah terpengaruh dengan apa ditonton termasuk lakonan bunuh diri sekiranya mereka alami tekanan hidup sehingga terperangkap dalam kemurungan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kes bunuh diri dalam kalangan remaja di negara ini adalah kerana terdorong dengan pengaruh drama Korea.

Perkara itu dibangkitkan Senator Mohd Apandi Mohamad yang mencelah perbahasan Fadhlina Sidek mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, semalam.

Fadhlina bersetuju dengan pandangan berkenaan kerana banyak faktor yang menyebabkan golongan bawah umur membunuh diri lalu menyentuh mengenai kepentingan perlindungan sosial untuk golongan terbabit yang berada dalam golongan umur rentan.

Mengulas lanjut, Dr Shazli berkata, akses kepada media sosial yang tinggi dalam kalangan remaja menyebabkan mereka terjebak dengan tontonan drama sedemikian dan sokongan sosial dalam kalangan remaja yang membentuk kumpulan umur dalam talian seperti WhatsApp, Facebook, Telegram serta Instagram menjadikan mereka terbabit dengan tontonan itu.

"Golongan remaja memang rapat dengan kumpulan umur mereka dan sering berbincang atau belajar bersama sesuatu yang tidak dibincangkan dalam keluarga.

"Selalunya mereka lebih tertarik membincangkan isu mengenai seks, beli-belah dan sebagainya," katanya.

Selain itu, katanya, individu terdorong membunuh diri juga disebabkan oleh tekanan hidup kronik sehingga hilang pertimbangan untuk menilai sesuatu perkara.

Beliau berkata, pembabitan remaja dengan masalah sosial, jenayah, penyalahgunaan bahan terlarang juga berpotensi ke arah isu tekanan mental.

Justeru, katanya, tanggungjawab masyarakat melalui konsep Keluarga Malaysia penting untuk mewujudkan suasana prihatin yang dapat memberi perhatian kepada golongan terjejas.

"Kita perlu sikap ambil peduli dengan persekitaran, ambil tahu perkembangan anak remaja, semai dan tanam nilai jati diri serta agama yang tinggi selain mengisi mental, emosi dengan ilmu atau cara daya tindak positif.

"Galakkan anak terbabit dengan aktiviti fizikal untuk mengelak mereka menghabiskan masa di televisyen, komputer atau telefon pintar dengan menonton drama tidak berfaedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 6:33 PM