GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Debaran dan kerisauan menanti Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan IPTS apabila ia membuka semula pintu kampus kepada 1.16 juta penuntut walaupun segala langkah diambil kira termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi memastikan virus Covid-19 tidak menular di kawasan persekitaran.

Selain mematuhi SOP digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak pengurusan IPT juga mengeluarkan garis panduan mereka sendiri bagi pematuhan lebih ketat.

Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah akan menerima kembali 3,000 penuntut dan setiap daripada akan dibawa ke satu kawasan khas untuk menjalani ujian saringan Covid-19 (RTK) sebaik sampai di kampus sebelum memasuki asrama penuntut, Inasis (Inapan Siswa) setelah keputusan saringan negatif.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, penuntut didapati positif dalam ujian saringan RTK akan terus dibawa ke Pusat Kuarantin UUM yang disediakan dengan dikendalikan Pusat Kesihatan UUM.

"Ahli keluarga yang menghantar penuntut ke Inasis tidak dibenarkan turun dari kenderaan untuk memasuki kawasan asrama kecuali penuntut sahaja dengan dibantu staf bertugas semasa kemasukan mereka," katanya dan menambah hanya penuntut sudah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan kembali di kampus.

"Sekiranya terdapat keperluan untuk berjumpa dengan pensyarah, penuntut boleh membuat janji temu dan berjumpa pensyarah secara bersemuka dengan perlu mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu pula mewajibkan penuntut melalui proses saringan awal dan tidak dibenarkan keluar kampus selama seminggu atau berjumpa dengan pihak luar bagi memastikan tiada penularan Covid-19.

Prof Dr Fazli Adam yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UniSZA berkata, kemasukan penuntut untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kampus akan dilaksanakan secara tiga peringkat di tiga cawangannya iaitu kampus induk Gong Badak, Kuala Terengganu dan Besut.

Fasa pertama, seramai 2,500 daripada 12,050 penuntut yang sudah lengkap divaksin dan berkeperluan akan dibenarkan pulang ke kampus.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan kaedah permohonan kemasukan penuntut dalam talian yang dibangunkan oleh universiti itu sendiri melalui entry.ia.unimas.my bagi enilai keperluan mereka.

Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS Prof Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman berkata, permohonan cara itu bagi membolehkan pihak fakulti dan jawatankuasa Covid-19 UNIMAS meneliti dan menilai keperluan masuk berdasarkan keperluan dan syarat ditetapkan pihak universiti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Covid-19 UNIMAS berkata, universiti itu menerima penuntut yang berkeperluan khusus seperti dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Alam Bina serta Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan perlu hadir ke makmal atau bengkel untuk menjalani sesi amali selain kuliah.

"Seterusnya diikuti dengan penuntut B40 yang memerlukan kemudahan fasiliti dari segi Internet, kami (UNIMAS) faham dengan keadaan sesetengah penuntut yang tinggal di pedalaman yang mungkin mengalami kesukaran untuk mendapatkan akses Internet.

"Dalam keadaan ini, kami berikan keutamaan kepada penuntut ini untuk kembali ke kampus agar mereka dapat menjalankan sesi kuliah secara dalam talian dengan lebih kondusif di kolej kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula menyediakan dua pusat isolasi bagi menempatkan penuntut yang mempunyai gejala seperti demam dan batuk walaupun ujian saringan Covid-19 menunjukkan keputusan negatif.

Naib Canselornya, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, seramai 2,269 penuntut terbabit peringkat pertama ke kampus pada 17 Oktober ini.

Daripada keseluruhan 10,969 penuntut, seramai 5,039 telah mendapat vaksin lengkap manakala 2,184 yang lain sudah diberikan dos pertama.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata, universiti itu akan menjalankan ujian air liur RTK secara pandu lalu terhadap setiap penuntut berkenaan sebelum dibenarkan memasuki asrama.

"Kami menggunakan konsep pandu lalu, penuntut yang dihantar ibu bapa perlu ke padang kawad UTM untuk menjalani ujian saringan.

"Sekiranya negatif mereka boleh terus ke asrama dan jika positif pula akan ke Pusat Isolasi dan Kuarantin itu," katanya sambil menambah UTM memberikan kelonggaran kepada penuntut untuk keluar dari kampus dari 7 pagi sehingga 10 malam.

Pengarah Pemasaran Korporat Kolej Sidma Azlina Ngatimin berkata, kolej itu yang terletak di Bundusan, Sabah menetapkan maksimum 30 penuntut untuk satu kelas dengan meja dan kerusi diletakkan mengikut prosedur SOP penjarakan fizikal yang ditetapkan.

"Kami ada dewan kuliah mampu menempatkan sehingga 80 penuntut, namun kami hanya akan benarkan maksimum 30 penuntut sahaja. Bagi bilik kuliah lebih kecil boleh tempatkan 30 atau 40 penuntut, kami akan hadkan jumlah lebih rendah berdasarkan SOP ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 5:11 PM