FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Dewan Negara hari ini dimaklumkan terdapat 240 hospital di seluruh negara yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 sehingga semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia membabitkan 126 hospital kerajaan, manakala 114 lagi hospital swasta.

Beliau berkata, daripada 126 hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19 itu, 120 adalah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lima hospital pengajar universiti dan satu Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bagi Sabah khususnya, sebanyak 21 hospital KKM diperuntukkan bagi perawatan pesakit Covid-19 dan sejumlah enam hospital swasta turut terlibat dalam pengurusan pesakit Covid-19.

"Dengan 27 hospital itu, jumlah katil dikhaskan bagi menempatkan pesakit Covid-19 di seluruh Sabah adalah 1,824 katil bukan kritikal dan 231 katil Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Donald Peter Mojuntin yang ingin tahu jumlah hospital kerajaan dan hospital swasta serta berapa jumlah hospital kerajaan dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara, khususnya di Sabah.

Dr Noor Azmi berkata, KKM melaksanakan usaha untuk memastikan fasiliti kesihatan negara mencukupi untuk menampung pesakit Covid-19 sama ada di seluruh negara amnya atau di Sabah khususnya.

Menurutnya, pelan kesiapsiagaan itu dirangka berdasarkan unjuran kenaikan kes yang memerlukan rawatan di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Mengenai soalan tambahan Donald ingin tahu senario rawatan pesakit bukan Covid-19 terutama mereka yang memerlukan pembedahan elektif dan pembedahan kecemasan, Dr Noor Azmi berkata, kerajaan amat prihatin perkara itu.

"Maknanya bukanlah kita hanya melihat kepada pesakit Covid-19 sahaja dan kita meninggalkan atau mengurangkan perhatian kepada pesakit bukan Covid-19 atau pun yang memerlukan pembedahan.

"Kerajaan pada awalnya sudah menyediakan RM100 juta untuk penyumberluaran dan kini ditambah lagi RM100 juta untuk menangani isu ini di mana pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan pembedahan dirujuk penyumberluaran kepada hospital swasta untuk melakukan pembedahan ini.

"Pembedahan atau prosedur perlu dipercepatkan tetapi tidak dapat dilakukan di hospital yang mengendalikan pesakit Covid-19, di mana mereka yang memerlukan pembedahan tidak sekali-kali diabaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 1:52 PM