Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan sesi libat urus bersama 28 pengedar dan pengimport bagi menentukan harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 Jumaat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, sesi berkenaan diadakan adalah bagi memberi peluang pengedar dan pengimport berbincang mengenai harga baharu kit ujian berkenaan sebelum ia diputuskan.

"KPDNHEP memandang serius berkenaan dengan harga kit ujian kendiri (Covid-19) dan mengambil peranan untuk memastikan harganya mampu dimiliki.

"Sesi ini diadakan untuk untuk mereka (pengedar dan pengimport) berbincang, (menentukan) harga yang paling sesuai dan tidak merugikan pengimport serta pengedar dalam masa sama menguntungkan pengguna," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Rasol merasmikan cawangan kelima kedai serbaneka Emar24 yang menawarkan konsep baharu dengan memperkenalkan penggunaan sistem peruncitan digital dan harga barang lebih berpatutan.

ROSOL (kanan) melihat barangan yang dijual di kedai serbaneka Emart24. FOTO Saifullizan Tamadi
ROSOL (kanan) melihat barangan yang dijual di kedai serbaneka Emart24. FOTO Saifullizan Tamadi

Rasol berkata, dengan pembukaan kedai serbaneka berkenaan membuktikan keyakinan pelabur dalam sektor peruncitan.

"Pengguna akan mempunyai banyak pilihan dan ini adalah satu perkara yang menggalakkan serta dapat memberi kesenangan kepada pengguna.

"KPDNHEP akan terus memastikan sektor peruncitan di Malaysia kekal berdaya saing dan dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin masih ada pelabur yang akan melabur di negara ini menerusi sektor peruncitan pada masa akan datang.

"Selain pelaburan ia juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada mana-mana individu yang terjejas berikutan pandemik yang melanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 2:49 PM