BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan rapi bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar susulan pengumuman kebenaran rentas negeri.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, ia akan ditingkatkan mulai Jumaat ini, apabila trafik dijangka sibuk susulan pertambahan pergerakan kenderaan ketara di jalan raya berikutan orang ramai dijangka mengambil cuti selama empat hari sempena Maulidur Rasul.

Beliau berkata, penugasan penguatkuasaan sama seperti sebelum pandemik Covid-19 dan rondaan pasukan pemantau pula akan ditingkatkan.

"JSPT kembali kepada (penugasan) normal. Dahulu kami banyak bertugas di sekatan jalan raya (SJR), namun SJR sudah tiada dan semua pegawai serta anggota trafik kembali kepada penugasan (yang asal).

"(Hari ini jumlah kenderaan) bertambah namun keadaan masih lagi terkawal (dan) tiada sebarang laporan mengenai kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Cuma kita bersedia dengan melakukan rondaan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, JSPT turut melaksanakan Op Lancar di seluruh negara bermula hari ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik susulan kebenaran rentas negeri.

Beliau berkata, operasi itu dilancarkan sehingga Isnin depan berikutan pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

Menurutnya, mereka akan memantau daripada segi kelancaran pergerakan aliran trafik jika berlaku sebarang peningkatan, tetapi setakat ini masih terkawal lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 7:42 PM
TRAFIK dijangka sibuk susulan pertambahan pergerakan kenderaan ketara di jalan raya berikutan orang ramai dijangka mengambil cuti selama empat hari sempena Maulidur Rasul. FOTO BERNAMA
TRAFIK dijangka sibuk susulan pertambahan pergerakan kenderaan ketara di jalan raya berikutan orang ramai dijangka mengambil cuti selama empat hari sempena Maulidur Rasul. FOTO BERNAMA