Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis Kedah menggerakkan 73 pasukan pemantau bagi melakukan pemeriksaan rawak ke atas orang ramai terutama di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan tumpuan awam bagi memastikan hanya individu lengkap dua dos vaksin balik ke negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasukan pemantau terbabit turut melakukan pemeriksaan di pasar raya, pasar basah, kedai makan dan tempat rekreasi di negeri ini.

Beliau berkata, pemantauan pematuhan dilakukan bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan Covid.

"Orang ramai hendaklah sentiasa memakai pelitup muka serta melakukan penjarakan fizikal selain mendaftar MySejahtera sebelum memasuki premis.

"Selain itu, pemantauan juga akan dilakukan di semua stesen pengangkutan awam termasuk di terminal feri, terminal bas ekspres, stesen kereta api dan lapangan terbang di seluruh negeri ini termasuk Langkawi.

"Pemeriksaan sijil vaksinasi juga akan dilakukan bagi memastikan setiap pengunjung termasuk pekerja di premis berkenaan lengkap dua dos vaksin," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, semua sekatan jalan raya (SJR) di negeri termasuk sempadan negeri sudah ditutup sejak kelmarin namun SJR Op Benteng di Kota Putra di Durian Burung serta di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam diteruskan.

Beliau berkata, dijangkakan orang ramai akan memasuki Kedah pada cuti hujung minggu ini untuk pulang ke kampung halaman termasuk bercuti ke Langkawi melalui Kuala Kedah.

"Namun keutamaan hanya diberikan pada individu yang lengkap dua dos vaksin dan pasukan pemantau akan melakukan pemeriksaan secara rawak," katanya.

"Pemeriksaan ini akan dijalankan oleh pihak berkuasa secara rawak di lokasi tumpuan umum berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:21 PM
Kamarul Zaman (kiri) melakukan pemantauan untuk memastikan semua individu yang datang ke negeri ini lengkap dos vaksin mengikut SOP yang ditetapkan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Kamarul Zaman (kiri) melakukan pemantauan untuk memastikan semua individu yang datang ke negeri ini lengkap dos vaksin mengikut SOP yang ditetapkan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI