TINJAUAN kenderan semakin bertambah di Tol Gombak berikutan kebenaran merentas negeri dibenarkan bermula hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
TINJAUAN kenderan semakin bertambah di Tol Gombak berikutan kebenaran merentas negeri dibenarkan bermula hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan Op Lancar di seluruh negara bagi memastikan kelancaran aliran trafik susulan kebenaran rentas negeri oleh kerajaan bermula hari ini.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi itu dilancarkan hari ini berikutan pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan mendapati aliran trafik dari ibu negara ke arah utara, selatan dan timur menunjukkan peningkatan sehingga 30 peratus berbanding minggu lalu namun masih terkawal serta lancar.

"Kita jangkakan jumlah kenderaan akan terus meningkat terutama pada cuti hujung minggu ini sehingga Rabu depan berikutan cuti umum.

"Oleh itu, semua pasukan JSPT di kontinjen dan daerah sudah diarahkan melakukan pemantauan bagi memastikan pergerakan kenderaan lancar selain pematuhan kepada peraturan jalan raya sedia ada," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, polis juga akan melakukan pemantauan di lokasi tumpuan orang ramai yang melakukan perjalanan rentas negeri seperti kawasan rehat dan rawat bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard.

Ditanya sama ada akan berlaku peningkatan kemalangan di jalan raya disebabkan oleh jumlah kenderaan yang meningkat, Mohd Nadzri tidak menolak kemungkinan itu dan menasihati orang ramai supaya melakukan pemanduan secara berhemah serta mematuhi undang-undang.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya merekodkan kira-kira 1,000 kes kemalangan di seluruh negara setiap hari dan antara 13 hingga 14 kes kemalangan maut dengan 70 peratus daripadanya membabitkan penunggang motosikal.

"Jumlah kes kemalangan dan kemalangan maut menurun ketika Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini, tetapi kita dapati kes itu meningkat semula selepas kelonggaran diberikan berikutan peningkatan kenderaan di jalan raya," katanya.

Beliau berharap pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas ketika melakukan perjalanan rentas negeri bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 4:51 PM