Pulau Perhentian
Pulau Perhentian
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Sektor pelancongan Terengganu dijangka pulih sebanyak 30 peratus susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan bermula hari ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya percaya akan berlaku peningkatan kemasukan pelancong ke negeri ini.

"Kita menyasarkan sebanyak 1.5 juta pelancong akan masuk ke Terengganu sehingga hujung tahun ini.

"Walaupun negeri ini akan memasuki musim tengkujuh, ia tidak akan menghalang pelancong datang ke negeri ini untuk bercuti.

"Terdapat pengusaha chalet dan resort di pulau peranginan dikatakan menyediakan pelbagai aktiviti musim tengkujuh sebagai langkah menarik pelancong untuk bercuti di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pengindahan Produk Pelancongan "Community Based Tourism" (CBT) daerah Kuala Terengganu di Pusat Rekreasi Kalang Warisan (PRKW), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ariffin Abdullah.

Menurutnya, beliau difahamkan tempahan bilik hotel dan homestay turut meningkat sehingga hujung tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri juga membuat keputusan untuk membenarkan kemasukan pelancong asing, namun kebenaran itu bagi mereka yang lengkap dos vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 4:10 PM