DIANGGARKAN hampir 500,000 individu rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan ketika ini. FOTO Aswadi Alias
DIANGGARKAN hampir 500,000 individu rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan ketika ini. FOTO Aswadi Alias
Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Dianggarkan hampir 500,000 individu rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan ketika ini.

Susulan itu Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Nasional bagi membantu memberi pertolongan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pusat berkenaan bukanlah tempat penyelidikan sebaliknya beliau mahu ia dijadikan sebagai lokasi kebolehcapaian berkaitan isu kesihatan mental.

"Saya ingin membuat satu pengumuman besar, iaitu ingin menghidupkan semula cadangan untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Nasional dan ia akan menjadi sebahagian daripada agenda.

"Selain kesihatan fizikal, KKM turut menitikberatkan isu kesihatan mental kerana kedua-duanya sangat penting. Jadi dengan adanya pusat kesihatan mental ini, mereka yang mempunyai masalah boleh datang dan mendapatkan pertolongan.

"Selain mengadakan kempen dan pelan strategik, pihak kementerian juga akan menambahbaik aplikasi MySejahtera supaya individu yang mempunyai masalah kesihatan mental ini boleh mendapatkan bantuan melalui aplikasi berkenaan," katanya dalam Majlis Pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental (2020-2025) tadi.

Memperincikan mengenai pelan strategik berkenaan, Khairy berkata ia adalah polisi jangka masa panjang KKM untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental negara dan terdapat lapan agenda utama yang akan diberikan fokus dalam pelan berkenaan.

"Ia merangkumi fokus bagi meningkatkan tadbir urus dan kerangka peraturan; memperkukuhkan sistem pengawalan kesihatan mental, memastikan ketersediaan dan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental yang komprehensif dan berkualiti serta memperkukuhkan sumber kesihatan mental.

"Selain itu ia bertujuan meningkatkan dan memupuk kolaborasi bersama dan di antara sektor; mempromosikan kesejahteraan dan kesihatan mental di dalam semua persekitaran dan kumpulan sasar, memperkukuhkan kesiapsiagaan dan perkhidmatan kesihatan menta semasa kecemasan, krisis dan bencana serta menangani bunuh diri dan tingkah laku bunuh diri," katanya.

Mengenai kesihatan mental di negara ini, Khairy berkata, laporan Tinjauan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati prevalen kemurungan dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 2.3 peratus, ini bermakna dianggarkan hampir 500,000 individu berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan.

"Pandemik Covid-19 mengakibatkan kebanyakan masyarakat terkesan daripada segi emosi dan kesihatan mental. Isu kesihatan mental kini menjadi satu pandemik senyap (silent pandemic) dengan berlakunya perubahan dalam kehidupan masyarakat.

"Perubahan norma baharu kehidupan yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat memberi impak terhadap emosi dan kesihatan mental individu itu.

"Antara isu kesihatan mental yang dikesan merangkumi masalah emosi dan tingkah laku termasuk tekanan perasaan (acute stress disorders), kemurungan (depression), keresahan (anxiety), letih upaya (burnout) serta tingkah laku bunuh diri (suicide).

"Peningkatan tren tingkah laku bunuh diri kebelakangan ini juga memberikan isyarat bahawa kita perlu mengambil tindakan segera bagi membendung masalah kesihatan mental rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 5:13 PM