Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebanyak 81 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Johor sudah mendapat dos pertama vaksin Covid-19, manakala lima peratus remaja pula sudah lengkap divaksinasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, berkata pemberian vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di negeri ini adalah membabitkan seramai 305,000 orang.

"Di Johor kita berada pada tahap yang baik dari segi pemberian vaksin kerana sebelum ini bagi daerah Johor Bahru pemberian vaksin remaja agak perlahan

"Namun, setakat ini vaksinasi remaja sudah capai 81 peratus untuk satu dos manakala dua dos pula sehingga kini sudah mencapai lima peratus," katanya.

MAZLAN Bujang, (dua dari kiri) melawat sesi pembelajaran pelajar tingkatan enam di Sekolah Aminuddin Baki, Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MAZLAN Bujang, (dua dari kiri) melawat sesi pembelajaran pelajar tingkatan enam di Sekolah Aminuddin Baki, Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Beliau berkata demikian selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, di sini hari ini.

Mazlan sebelum ini dilaporkan berkata, PICK Remaja di negeri ini dilaksanakan di 173 pusat pemberian vaksin dan dijangka berlangsung sehingga akhir November untuk dos pertama, manakala Disember bagi dos kedua.

Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 4,209 pelajar Tingkatan Enam semester dua di Johor memulakan sesi persekolahan mereka, hari ini.

Katanya, setiap sekolah dibekalkan kit ujian pantas RTK Antigen bagi melakukan ujian calitan terhadap pelajar yang tidak sihat.

"Pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sama sebelum ini, iaitu antaranya mengambil suhu badan, sentiasa memakai pelitup muka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 10:54 AM