ABD Jalil Hassan
ABD Jalil Hassan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah membuka kertas siasatan ke atas pemilik akaun Twitter Khalid@khalids berhubung ciapan tidak benar mengenai senarai 41 kematian guru disebabkan vaksin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung ciapan pemilik akaun Twitter terbabit.

Menurutnya, ciapan yang dimuat naik semalam itu mempunyai 52 ulang ciap, 1,168 quote tweets dan 70 tanda suka mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas warganet.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"PDRM menasihatkan orang ramai supaya cakna dan peka terhadap pihak yang cuba mengganggu kelancaran program vaksinasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Abd Jalil berkata, orang ramai juga digesa untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihannya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 10:25 PM