MOHD Rafiq Naizamohideen. FOTO Amir Mamat
MOHD Rafiq Naizamohideen. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Jasin: Perikatan Nasional (PN) Melaka akur jika Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa ditangguhkan berikutan kebimbangan banyak pihak terhadap penularan jangkitan Covid-19.

Pengerusinya Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, beliau yakin kerajaan akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan termasuk mengisytiharkan proklamasi darurat.

"Kita akur segala keputusan yang akan dibuat kerana sudah tentu setiap keputusan kerajaan akan mengambil kira faktor kesihatan serta laporan daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan kerana kepentingan rakyat adalah mengatasi kepentingan politik.

"Namun, PN Melaka tetap bersedia untuk menyertai PRN itu sebagai menghormati proses demokrasi dan perlembagaan negeri sekiranya kerajaan memutuskan supaya PRN boleh diadakan," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri Serkam, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat keputusan minggu depan sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN atau tidak.

Sementara itu, mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti berkenaan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu sekiranya berlaku PRN kelak, Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, pihaknya menerima keputusan terbabit dengan hati terbuka.

"Bersatu dan PN akur dengan hasrat Presiden Umno itu, namun kita sebenarnya tidak bersendirian (dalam PRN)," katanya.

PN menggabungkan tiga parti komponen di peringkat negeri membabitkan Bersatu, Pas dan Gerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 4:34 PM