Izad Thaqif Hassan


Merbok: Kehilangan ibu dan suami tercinta akibat jangkitan Covid-19 sangat meninggalkan kesan buat seorang wanita kerana dua insan tersayang itu meninggal dunia hanya selang dua hari di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, pada Julai lalu.

Lebih menyedihkan, berita itu hanya didengar Zalinah Ahmad, 43, daripada ahli keluarga terdekat melalui telefon bimbit kerana dia ketika itu berada di wad berasingan berikutan turut dijangkiti Covid-19.

Kedukaan akibat kehilangan dua orang tersayang tidak hanya berakhir di situ kerana dia yang pulih sebulan kemudian terpaksa menanggung derita kesan Covid-19 hingga membuatkannya sukar bangun dan berdiri.

Zalinah berkata, jika duduk, kakinya menjadi lemah untuk bangun semula dan terpaksa dipapah anak sulung atau adik lelakinya sebelum berpaut pada tongkat.

"Keadaan saya jadi begini selepas sebulan terlantar di hospital ketika menerima rawatan akibat jangkitan Covid-19.

"Namun, sebaik sembuh saya pelik kerana tidak mampu berdiri serta terpaksa diangkat kakitangan hospital dan doktor memberitahu ini adalah kesan sampingan gejala 'Long Covid'," katanya yang ditemui di Taman Lembah Merbok Semeling, hari ini.

ZALINAH (tengah) hanya mampu berdiri dengan bantuan anak dan adik lelaki yang memapahnya kerana mengalami gejala 'Long Covid' sejak dua bulan lalu. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
ZALINAH (tengah) hanya mampu berdiri dengan bantuan anak dan adik lelaki yang memapahnya kerana mengalami gejala 'Long Covid' sejak dua bulan lalu. FOTO IZAD THAQIF HASSAN

Menurutnya, keadaannya itu hanya berlaku sekiranya mahu berdiri ketika duduk dan jika sudah diangkat, dia akan dapat berjalan seperti biasa.

Katanya, dia pernah cuba bangun dengan berpaut pada dinding serta kerusi, namun tetap gagal dan memang terpaksa diangkat oleh orang lain.

"Baru-baru ini, saya ke hospital menjalani CT Scan (ujian imbasan tomografi berkomputer) namun doktor memberitahu tiada kesan tulang patah dan hanya memberi ubat saraf.

"Selain kesan kaki menjadi lemah, saya turut mudah penat dan terpaksa menggunakan mesin oksigen terutama ketika sejuk dan waktu malam," katanya yang menerima sumbangan daripada pasukan sukarelawan Dik Wan-Team Bantuan Sungai Petani.

Menurutnya, dia bersyukur kerana jiran sekeliling sanggup membantu mengumpul wang bagi membeli mesin oksigen terbabit yang berharga lebih RM4,000.

Katanya, sekiranya tiada bantuan itu, dia mungkin tidak dapat membeli mesin terbabit kerana sudah dua bukan tidak bekerja sebagai operator kilang dan kini hanya menerima separuh gaji kerana masih dalam tempoh cuti sakit.

Suaminya, Mohd Shokri Mahmud, 58, meninggal dunia 25 Julai lalu disusuli arwah ibu, Robiah Mohd Isa, 75, pada 27 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:49 PM