Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) bermula hujung tahun ini bagi menentukan hala tuju pembangunan lapangan terbang di Malaysia.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kajian itu akan menilai keperluan sebenar pembangunan lapangan terbang termasuk pembangunan infrastruktur, keperluan ruang udara, ekonomi dan strategik.

Menurutnya, sektor penerbangan negara diunjurkan pulih dalam tempoh tiga hingga empat tahun tertakluk kepada situasi semasa penularan Covid-19.

"Buat masa ini, semua cadangan projek baru pembinaan atau menaik taraf lapangan terbang akan ditangguhkan sehingga industri penerbangan pulih.

"Sekiranya terdapat keperluan, kementerian hanya akan menyelesaikan beberapa isu berhubung pengambilan tanah di beberapa kawasan lapangan terbang sedia ada tertentu bagi tujuan perancangan pembangunan masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

DATUK Seri Dr Wee Ka Siong. FOTO Bernama
DATUK Seri Dr Wee Ka Siong. FOTO Bernama

Menjawab isu pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) tiada dalam RMK-12 yang dibangkitkan oleh Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), Dr Wee berkata, cadangan projek menaik taraf LTAPP akan dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Finance Initiative-PFI).

Beliau berkata, pandemik memberi kesan negatif terhadap industri penerbangan negara terutama kemampuan MAHB untuk membiayai projek berkenaan.

Namun, katanya, kerajaan sedang menyelesaikan beberapa isu termasuk pengambilan tanah di kawasan sekitar LTAPP bagi membolehkan projek naik taraf dapat dilaksanakan selepas industri penerbangan pulih.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan pembangunan lapangan terbang, jika ada keperluan mendesak penduduk di kawasan pedalaman seperti menaik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu, Sabah, yang akan dipertimbangkan selepas kajian NASP disiapkan.

"Ketika ini terdapat tiga projek naik taraf atau bina lapangan terbang domestik yang sedang dilaksanakan iaitu Lapangan Terbang Sandakan (LTS) Sabah, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kelantan dan Lapangan Terbang Baharu Mukah (LTBM), Sarawak.

"Bagaimanapun, tiada lapangan terbang antarabangsa baharu yang dibina atau dinaik taraf," katanya menjawab soalan dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai status pembangunan lapangan terbang antarabangsa di bawah RMK-11.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:57 PM