FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Individu layak terima vaksin Covid-19 termasuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang belum mendapat janji temu boleh hadir secara jumpa terus di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri ini mulai esok.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pengoperasian 10 PPV di negeri ini akan beroperasi seperti biasa sehingga selesai suntikan dos kedua dan tidak akan ditamatkan tempohnya seperti yang ditularkan.

"Malah, bagi memastikan kesinambungan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan dewasa, remaja dan dos penggalak dapat diteruskan dengan lancar, pengoperasian PPV selanjutnya akan diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepenuhnya kelak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, trend jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang mula menunjukkan penurunan berdasarkan data yang dikongsikan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

"Bagaimanapun, kerajaan negeri atas usaha sama JKNPP dan juga KKM masih membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Sehingga semalam, sebanyak 65 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) disediakan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Bagi jangka masa sederhana panjang, sebanyak empat hingga enam katil ICU akan ditambah di HPP dalam tempoh terdekat (bergantung kepada keperluan); empat di hospital medan dan Hospital Kepala Batas 10 katil yang dijangka siap pada penghujung Oktober ini," katanya.

Katanya, perancangan keperluan peralatan serta keanggotaan juga sedang dirancang bagi pembukaan ICU tambahan tersenarai membabitkan kerjasama peringkat negeri dan juga pusat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 1:41 PM