BERNAMA

Kuala Lumpur: Komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara S Kisona baru-baru ini, tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique.

Beliau berkata, ia memandangkan sukan sudah lama jadi menjadi tapak integrasi perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia selama ini.

"Nasihat saya kepada semua pihak terutama pengguna media sosial jangan bangkitkan api kemarahan, elak guna kata-kata yang menghiris hati dan perasaan kaum lain demi kita jaga perpaduan dan keharmonian keluarga besar kita 'Keluarga Malaysia'," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta pandangan menteri berhubung isu itu, memandangkan atlet berkenaan merupakan penduduk di kawasan Rasah yang menurut Cha sudah berkorban banyak demi mengharumkan nama negara dan wajar dihargai.

Komen berbaur perkauman itu sebelum ini dilemparkan terhadap Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.

HALIMAH ketika pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. FOTO BERNAMA
HALIMAH ketika pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. FOTO BERNAMA

Berhubung soalan Cha mengenai tindakan untuk memastikan kualiti dan profesional guru Tabika ditingkatkan, Halimah berkata, pihaknya kini antara lain memastikan semua guru Tabika Perpaduan mempunyai kelayakan minimum Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK).

Jelasnya, sehingga 1 Oktober lalu, seramai 1,574 orang atau 88 peratus daripada 1,781 Guru Tabika Perpaduan memiliki DPAKK daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Open University Malaysia (OUM).

"Untuk memastikan baki 207 orang guru Tabika Perpaduan ini mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan yang setara dengan DPAKK, Kementerian Perpaduan Negara bekerjasama dengan UPSI bagi menyediakan kursus yang setara dengan DPAKK iaitu Program Persijilan Kompetensi Guru Tabika Perpaduan (PPKG)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:47 PM