SAARANI pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di Sekolah Izzuddin Shah, Jalan Sultan Azlan Shah. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SAARANI pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di Sekolah Izzuddin Shah, Jalan Sultan Azlan Shah. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mengadap Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah semalam berhubung isu keputusan penjualan Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan.

"Saya mengadap Tuanku bagi berbincang berkaitan dengan perkara itu (penjualan Istana Raja Muda)," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di Sekolah Izzuddin Shah, Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas apabila ditanya pemberita berhubung permintaan Raja Puan Besar Perak yang meminta supaya istana itu dikekalkan.

Saarani berkata, perkara itu juga akan diusulkan ke Mesyuarat EXCO Kerajaan negeri bagi dibincangkan dengan lebih lanjut.

"Saya kena bawa perkara ini dalam Mesyuarat EXCO Kerajaan negeri untuk melihat bagaimana kita boleh merealisasikan hasrat baginda," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan menerima lawatan Raja Puan Besar Perak pada 29 September lalu.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini memaklumkan keputusan penjualan Istana Raja Muda Perak di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan itu dilakukan selepas tidak menerima sebarang bantahan ketika itu.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, keputusan menjual istana berkenaan ketika itu sudah mendapat kata putus secara bersama.

Istana lama itu sebelum ini hangat diperkatakan bakal lenyap apabila kerajaan bersetuju menjual tapak tersebut secara tender terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:38 PM