Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Hasil analisis terkini penjujukan genom membabitkan 1,312 sampel menunjukkan bahawa sebanyak 1,246 iaitu 94.9 peratus dikenal pasti sebagai varian Delta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, manakala 11 sampel lagi dikenal pasti sebagai Beta dan 55 yang lain tergolong dalam varian bukan varian membimbangkan (VOC).

Menurutnya, sejumlah 1,312 sampel dianalisis oleh konsortium itu membabitkan tempoh sehingga 30 September lalu dan ia meningkatkan jumlah genom dari Malaysia yang sudah dimuat naik ke Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) kepada 3,009.

Katanya, penjujukan genom bagi varian SARS-CoV2 (Covid-19) secara konsortium adalah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), universiti dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Sampel-sampel yang dipilih adalah daripada kesemua negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Sehingga kini, tiada varian Mu dan Lambda dikesan daripada sampel dianalisis di Malaysia.

"Konsortium ini akan terus memantau penularan varian, melakukan analisis turutan jujukan genom penuh virus SARS-CoV2 atau Covid-19 dengan memberi fokus kepada pemantauan terhadap semua jenis mutasi gen," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin tahu perancangan dan kesiapsiagaan KKM dalam menangani kemunculan varian baharu Covid-19 yang membimbangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, bagi membolehkan konsortium dapat terus menjalankan analisis penjujukan genom SARS-CoV-2, Mosti turut mengumumkan tambahan dana sebanyak RM13.9 juta.

Katanya, dana itu membolehkan kesinambungan dalam menjalankan penjujukan genom memandangkan adalah sangat penting bagi pemantauan kemasukan varian baru ke Malaysia.

Sementara itu, katanya, pada bulan ini KKM juga dijangka memulakan pemberian dos ketiga kepada kumpulan tertentu.

"Antara golongan sasaran untuk pemberian dos ketiga adalah seperti petugas barisan hadapan, pesakit kurang daya tahan imunisasi, warga tua dengan komorbiditi; kakitangan dan penghuni rumah warga emas.

"Ini adalah sebagai langkah meningkatkan perlindungan kepada mereka yang berisiko tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 1:13 PM