Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan akan meningkatkan kawalan di pintu masuk antarabangsa (PMA) bagi mengelak varian baharu Covid-19 tersebar di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, antara tindakan dilaksanakan ialah meningkatkan kawalan kemasukan pengembara di PMA selepas penilaian risiko dijalankan.

Selain itu, katanya, penilaian risiko jangkitan dijalankan bagi permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

"Pengembara yang tidak mematuhi syarat-syarat ini diwajibkan menjalani kuarantin di stesen kuarantin.

"Perancangan dan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani kemunculan varian baharu juga adalah mewajibkan kuarantin selama 14 hari bermula dari tarikh pengembara masuk ke Malaysia.

"Tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko terhadap pengembara itu yang dijalankan pada hari ke-14," katanya.

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin. FOTO Bernama
MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin. FOTO Bernama

Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin tahu perancangan dan kesiapsiagaan KKM dalam menangani kemunculan varian baharu Covid-19 yang membimbangkan.

Khairy berkata, selain itu, kerajaan hanya membenarkan kemasukan pengembara disahkan negatif Covid-19 dengan laporan ujian makmal RT-PCR yang dilakukan tiga hari sebelum berlepas.

"Melakukan swab (ujian saringan Covid-19) ke atas pengembara di PMA pada hari ketibaan bagi pengesanan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan ujian RT-PCR dan ujian makmal pada hari kesepuluh bagi individu dengan kuarantin selama 14 hari dan ujian pada hari ke-18 bagi individu yang perlu menjalani kuarantin selama 21 hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 12:11 PM