CEO yang dikaitkan dengan isu ketirisan projek uCustoms ditahan SPRM. FOTO Ihsan SPRM.
CEO yang dikaitkan dengan isu ketirisan projek uCustoms ditahan SPRM. FOTO Ihsan SPRM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang dikaitkan dengan isu ketirisan projek uCustoms milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tengah malam tadi.

Individu berusia 56 tahun itu ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Suspek dibenarkan direman enam hari bermula hari ini sehingga 7 September 2021. Kebenaran reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim," katanya.

Kata sumber lagi, isu ketirisan itu dibangkit dalam Laporan Audit 2019 Siri 2 yang mana kos asal projek pada 2013 sebanyak RM317.78 juta, meningkat kepada RM 397.43 selepas lima lanjutan masa (EOT) dibenarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh dilapor menggesa SPRM untuk menyiasat perkara itu dan satu pasukan khas dilapor ditubuhkan SPRM untuk menyiasat rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 8:05 PM