MOHD Redzuan Mohd Yusof menyerahkan sumbangan makanan kepada anggota komuniti di pekan Gadek, Alor Gajah hari ini. FOTO Hassan Omar
MOHD Redzuan Mohd Yusof menyerahkan sumbangan makanan kepada anggota komuniti di pekan Gadek, Alor Gajah hari ini. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Alor Gajah: Rakyat Melaka bosan jika kerajaan negeri sekali lagi bertukar tangan, sebaliknya mereka mahu usaha diteruskan bagi membebaskan negeri daripada pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof menegaskan, rakyat mahu meneruskan pekerjaan masing-masing bagi memperkukuh ekonomi keluarga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukannya menyaksikan permainan politik yang tiada kesudahan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak, terutama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada blok kerajaan yang dikatakan bakal melompat ke parti pembangkang, supaya menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi menyerahkan mandat kepada rakyat memilih pemimpin.

"Saya harap empat Adun itu fikir semula dalam keadaan kita masih berperang dengan pandemik Covid-19, tidak wajar tukar kerajaan.

"Tunggulah PRU-15, kita serahkan mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang diinginkan, bukannya melompat parti kerana ia bukanlah budaya yang sihat," katanya.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Wan berkata demikian selepas menyerahkan barangan makanan kepada anggota komuniti yang terkesan akibat Covid-19 di pekan Gadek di sini, hari ini.

Seramai 500 anggota komuniti berkenaan menerima sumbangan beras, gula, tepung dan seumpamanya bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga.

Mohd Redzuan yang juga Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata, aspek Adun terbabit dikatakan mungkin membentuk kerajaan campuran dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), hanya akan menyebabkan rakyat semakin tertekan.

Kata beliau, sejak PRU-14, rakyat Melaka sudah cukup untuk menyaksikan perubahan kerajaan negeri dan tidak mahu sekali lagi menyaksikannya.

"Cukuplah itu, rakyat sudah bosan dengan permainan politik seumpama itu," katanya.

Politik di negeri ini dilaporkan bergolak semula apabila empat Adun yang mendukung kerajaan negeri, dikatakan bakal melompat ke parti pembangkang.

Mengenai program pengagihan bahan makanan, beliau berkata, saringan penerima sumbangan dilakukan secara telus bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menerimanya.

"Sebelum ini, kami sudah membuat program ini di Dewan Undangan Negeri (Dun) Machap Jaya dan akan diteruskan di Dun Rembia dan Durian Tunggal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 1:57 PM