BUNG Moktar Radin (kiri) Lee Chong Wei (kanan)
BUNG Moktar Radin (kiri) Lee Chong Wei (kanan)
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin adalah antara individu yang mendahului senarai 1,299 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang Ke-68, esok.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri dan Ketua UMNO Sabah menerima darjah kebesaran tertinggi negeri Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Turut tersenarai menerima SPDK ialah isteri bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Dua lagi penerima SPDK ialah Ahli Parlimen Beaufort yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Yee Moh Chai.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya adalah antara 66 penerima darjah kedua tertinggi negeri Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran datuk.

Turut menerima PGDK ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik yang juga Bendahari UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Penerima lain PGDK ialah Panglima Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; Panglima Lima Divisyen Kem Lok Kawi, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid; Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Sabah, Datin Dr Nuinda Alias dan Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani.

Nama lain yang turut tersenarai menerima PGDK ialah Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Titing Putang; Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain; Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Yahya Sulaiman @ Ag Yahya Ag Timbang.

Antara penerima lain PGDK ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Rusdin @ Musidi Riman; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Mohd Jasmin Julpin; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Dr Jamili Nais; Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S Karunanithy.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin; Ketua Srikandi BERSATU Keningau, Amelia Ajun dan Ketua Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong; Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Frederick Kugan dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Dr Roland Chia Ming Shen.

Sementara itu, seramai 10 orang menerima Jaksa Pendamai (JP), diketuai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, diikuti bekas jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Seramai 95 individu pula menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), antaranya ADUN Dilantik yang juga Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan; Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Kurup; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy; ADUN Pintasan, Fairuz Renddan; ADUN Lumadan, Ruslan Muharam;

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Flovia Ng; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Harun Durabi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 10:26 PM