Al-Sultan Abdullah bersama General Sir Nicholas Patrick Carter, di London, United Kingdom. FOTO Ihsan Istana Negara
Al-Sultan Abdullah bersama General Sir Nicholas Patrick Carter, di London, United Kingdom. FOTO Ihsan Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom (UK) Jeneral Sir Nicholas Patrick Carter di London pada Rabu.

Istana Negara menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Nicholas telah berkongsi pengalaman masing-masing sebagai Pegawai Kadet di Royal Military Academy Sandhurst, UK dalam pertemuan selama 45 minit itu.

Al-Sultan Abdullah pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi itu dari 1978 hingga 1979.

Selain itu, Seri Paduka dan Nicholas turut menyentuh hubungan dua hala pertahanan antara Malaysia dan UK serta peningkatan kerjasama berterusan antara kedua-dua negara dalam aspek latihan dan pertahanan.

"Antara isu-isu semasa lain yang disentuh pada sesi menghadap termasuk pandemik Covid-19, kemanusiaan, industri pertahanan, keselamatan serantau dan perkembangan terkini di Afghanistan," menurut perkongsian itu.

Perkongsian itu juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan dan menzahirkan hasrat Malaysia menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera kepada Nicholas.

Penganugerahan yang akan dikendalikan Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat adalah bagi menghargai peranan Nicholas yang dijadual bersara pada Disember dalam meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Zakri Jaafar, Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia Charles Hay, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Penasihat Pertahanan Brigadier Jeneral Safwan @ Asri Ismail dan Ketua Staf kepada Panglima Angkatan Tentera UK Laksamana Anthony Rimington.

Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menghadiri majlis perjumpaan semula bersama rakan sepasukan semasa di Royal Military Academy Sandhurst di London.

Pada majlis itu, Seri Paduka meluangkan masa menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbas kenangan manis masing-masing semasa berkhidmat sebagai pegawai kadet di akademi berkenaan lebih 40 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 8:13 PM