GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuching: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak berharap sebarang tindakan terhadap pegawai perkhidmatan awam yang belum mendaftar atau mengambil vaksin Covid-19 harus dilakukan dengan pertimbangan wajar dan toleransi.

Pengerusinya Omar Bahrein Unin berkata, ini termasuk mengenal pasti masalah sebenar faktor penjawat awam tidak mahu menerima vaksin.

"Penjawat awam memang tertakluk pada peraturan perkhidmatan awam namun kami berharap tindakan tatatertib ini tidaklah sehingga dikenakan tindakan buang kerja atau hukuman berat.

"Ini kerana isu (vaksin) adalah perkara baharu dalam perkhidmatan awam dan bukan kesalahan membabitkan jenayah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19.

JPA dilapor berkata, ia bagi memberi keyakinan dan jaminan kepada orang awam untuk memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat serta selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut JPA, peratusan pegawai awam Persekutuan yang mengambil vaksin telah mencapai hampir 98 peratus, manakala kelompok yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus membabitkan 16,902 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:21 PM