SATU mayat rentung ditemui dalam sebuah kereta yang terbakar dalam ladang kelapa sawit di Kampung Perepat dekat sini, pagi tadi. FOTO ihsan IPD Klang Utara
SATU mayat rentung ditemui dalam sebuah kereta yang terbakar dalam ladang kelapa sawit di Kampung Perepat dekat sini, pagi tadi. FOTO ihsan IPD Klang Utara
Norzamira Che Noh


Klang: Satu mayat rentung ditemui dalam sebuah kereta yang terbakar di ladang kelapa sawit Kampung Perepat dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan satu mayat dalam keadaan rentung sekitar jam 10 pagi.

Katanya, pasukan kemudian bergegas ke tempat kejadian dan mendapat bantuan Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan (K9) polis serta Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

"Siasatan awal mendapati kereta yang hangus itu jenis Perodua Kancil dan terdapat satu mayat di tempat duduk belakang yang sudah terbakar 90 peratus.

"Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya kejadian berlaku antara dua ke tiga hari yang lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Vijaya Rao berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati kereta itu milik seorang wanita tempatan yang tinggal di daerah itu.

Katanya, polis dimaklumkan wanita berkenaan bahawa kereta itu dipandu oleh bapanya yang keluar dari rumah sejak seminggu lalu malah wanita itu ada membuat laporan polis selepas bapanya tidak pulang ke rumah.

"Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperolehi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:41 PM