FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Tindakan diambil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan semua penjawat awam mendapatkan vaksin bukanlah bertujuan menghukum kerana banyak ruang dan peluang diberikan kerajaan ketika pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, justeru penjawat awam perlu akur dengan langkah yang diambil kerana ia bertujuan untuk memulihkan negara yang terkesan daripada sudut ekonomi dan sosial.

"Sebagai penjawat awam, kita perlu akur dengan arahan itu memandangkan penjawat awam adalah jentera pentadbiran kerajaan yang menjadi pelaksana dan mendukung segala dasar dan polisi kerajaan.

"Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1993. Kita adalah pekerja yang menerima arahan kerajaan dan melaksanakan dasar kerajaan bagi mengurus semua perkara berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam ini mampu memberikan keyakinan dan jaminan seterusnya melancarkan urusan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat," katanya tadi.

Terdahulu, JPA dalam satu kenyataannya memaklumkan penjawat awam diwajibkan untuk mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi itu sebelum 1 November ini.

JPA berkata setakat ini seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

Katanya, sekiranya penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, Adnan meminta supaya ketua jabatan mengambil maklum arahan terbaharu yang dikeluarkan oleh JPA serta memaklumkan mengenainya kepada kakitangan yang masih belum divaksin.

Beliau turut memaklumkan, tempoh yang diberikan oleh JPA untuk penjawat awam mendapatkan pelalian berkenaan adalah munasabah dan mereka boleh berbuat demikian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang masih terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:33 PM