GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hamzah Osman

Langkawi: Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) meminta kerajaan mewajibkan pelancong ke pulau ini melakukan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata, ini kerana ujian menggunakan sampel air liur yang diamalkan ketika ini tidak tepat dan gagal menyekat penularan Covid-19 di pulau legenda itu.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan satu kes positif Covid-19 membabitkan pelancong kanak-kanak berusia tiga tahun ketika melancong di pulau ini, Jumaat lalu.

"Difahamkan, ibu dan ayah kanak-kanak itu negatif ketika saringan RTK-Antigen menggunakan air liur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) iaitu sebelum mereka berlepas ke Langkawi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zainudin berkata, tindakan tegas kerajaan itu perlu bagi menjaga kebajikan pelancong dan penduduk tempatan, selain memastikan industri pelancongan di Langkawi tidak terhenti kali kedua.

"LTA faham purata penerbangan ke Langkawi sekitar 15 penerbangan sehari dan jika ujian RT-PCR diwajibkan ia menyebabkan pelancong perlu tempoh masa lama dan kesesakan berlaku di KLIA2.

"Saringan RTK-Antigen menggunakan air liur lebih cepat tapi tidak boleh dipercayai 100 peratus untuk kesan virus Covid-19, jadi kita perlu beralih segera kepada RT-PCR kerana hasil keputusannya lebih tepat," katanya.

Beliau berkata, kes yang diumumkan oleh JKN Kedah itu telah membuka mata bahawa satu kaedah yang lebih baik perlu diperkenalkan untuk menyekat penularan Covid-19 sempena pembukaan projek rintis gelembung pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 5:48 PM