GAMBAR hiasan. FOTO Mikail Ong
GAMBAR hiasan. FOTO Mikail Ong
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah merekodkan satu lagi kluster Covid-19 yang dikenal pasti berpunca daripada kegagalan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) hari ini.

Kluster Long Pasia berkaitan jangkitan dalam komuniti di daerah Sipitang itu dipercayai berpunca daripada sambutan majlis hari jadi yang dihadiri penduduk Kampung Long Pasia.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sehingga kini seramai 25 daripada 30 individu yang disaring dikesan positif Covid-19.

Katanya, ia adalah kluster kedua dalam minggu ini disebabkan kegagalan pematuhan SOP selepas Kluster Mokodou di Ranau yang berpunca daripada majlis pengebumian, semalam.

"Kluster Long Pasia ini dan Kluster Mokodou di Ranau yang dilaporkan semalam agak mengecewakan dalam usaha kita memerangi pandemik.

"Kedua-dua kes ini jelas menunjukkan masih ada penduduk kita yang tidak mematuhi SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) secara serius.

"Kelalaian dan sikap acuh tak acuh mengakibatkan jangkitan virus Covid-19 yang membabitkan ramai penduduk," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Long Pasia adalah perkampungan terpencil berhampiran sempadan Sabah - Kalimantan, Indonesia di Sipitang dengan jarak kira-kira 130 kilometer dari pekan Sipitang.

Berdasarkan SOP terbaharu dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah, majlis sosial seperti hari jadi belum dibenarkan, manakala kehadiran terhad ditetapkan bagi upacara pengebumian jenazah.

Sehubungan itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, mengingatkan pemimpin di peringkat akar umbi di Sabah supaya memantau aktiviti sosial di kawasan masing-masing.

"Diharapkan Pegawai Daerah, ketua masyarakat khususnya di peringkat akar umbi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memantau acara sosial di kampung untuk memastikan pematuhan ketat semua SOP.

"Kerjasama rakyat jelata amatlah penting bagi membolehkan kita memenangi perang melawan pandemik Covid-19," katanya.

Sabah hari ini mencatat 993 kes baharu positif Covid-19, turun tujuh kes berbanding 1,000 kes yang dilaporkan semalam.

Masidi berkata, sebanyak 12 daerah merekodkan peningkatan kes dengan kumulatif peningkatan sebanyak 157 kes, manakala 15 daerah lagi mencatat penurunan kes dengan kumulatif penurunan sebanyak 164 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 5:12 PM