ANGGOTA bomba melakukan pemantauan di kawasan hotspot banjir di kenal pasti. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba melakukan pemantauan di kawasan hotspot banjir di kenal pasti. FOTO IHSAN BOMBA
Nuraliawati Sabri


Melaka: Rondaan dua kali sehari dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini di kawasan hotspot banjir bagi memantau paras air sungai dan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, 124 lokasi hotspot di seluruh negeri ini dikenal pasti dan pemantauan berterusan dilakukan pihaknya kemungkinan berlakunya banjir.

Beliau berkata, pemantauan harian itu dilakukan pihaknya bermula sejak 22 September lalu antaranya di Sungai Asahan dan Sungai Ayer Panas, Tehel di Jasin; Empangan Gadek dan Sungai Pengkalan di Alor Gajah serta Sungai Putat di Melaka Tengah.

"Kebiasaan pemantauan dilakukan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang namun sekiranya cuaca hujan lebat berterusan pemantauan secara kerap akan dilakukan oleh anggota bomba di lokasi hotspot ini untuk melihat paras air sungai.

"Kesemua 10 balai bomba dan penyelamat (BBP) di negeri ini digerakkan bagi melakukan pemantauan selain itu kita juga dapat mengenal pasti bentuk muka bumi di kawasan terbabit supaya operasi menyelamat ketika berlakunya banjir dapat berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata, sehingga pagi hari ini, pemantauan mendapati tiada berlakunya kenaikan paras air sebaliknya hanya air pasang sahaja selain tiada kawasan yang dinaiki air.

Mengulas lanjut Muhammad Izwan berkata, selain pemantauan, aset JBPM Melaka juga berada dalam keadaan siap sedia dan boleh digerakkan pada bila masa.

"Bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir kita mempunyai empat bot fiber, 15 bot aluminum dan sembilan buah lori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 5:02 PM