Md Rawi menyusun bahan makanan untuk diagihkan kepada anggota komuniti yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di Dewan JAPERUN Tanjung Bidara, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Md Rawi menyusun bahan makanan untuk diagihkan kepada anggota komuniti yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di Dewan JAPERUN Tanjung Bidara, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Masjid Tanah: Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menyediakan lebih 3,000 komputer riba untuk diagihkan kepada anak asnaf bagi memudahkan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, Maim memperuntukkan RM3 juta bagi menjayakan program berkenaan yang bertujuan membantu murid sekolah kebangsaan dan pelajar sekolah menengah daripada keluarga kurang berkemampuan mengikuti PdPR.

"Maim akan mengagihkan lebih 3,000 komputer riba kepada anak asnaf yang bukan setakat memudahkan mereka mengikuti PdPR, malah berkomunikasi dengan sesiapa sahaja.

"Insya-Allah peralatan komunikasi itu akan diedarkan Oktober ini berdasarkan senarai nama penerima yang sudah disaring dengan teliti bagi memastikan hanya anak asnaf yang layak menerimanya," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, anak asnaf yang terpaksa berkongsi telefon bimbit dengan ibu bapa untuk mengikuti PdPR mampu mengikutinya secara lebih selesa dengan menggunakan komputer riba dan diharapkan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik.

Md Rawi juga berkata, Maim sudah mengagihkan 23,400 Kit Makanan Kecemasan (Musa'adah) bagi membantu mereka yang terjejas akibat Covid-19 dari Jun hingga Ogos lalu.

Peruntukan RM936,000 dibelanjakan bagi menyediakan kit makanan itu yang mengandungi bahan makanan asasi seperti beras, gula, tepung, susu, sardin, garam, biskut, kopi dan minuman kordial yang diedarkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di seluruh negeri ini.

"Ia membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dan Maim terhadap nasib rakyat yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19," katanya.

Selain itu, Maim turut mengedarkan pelitup muka dan tuala kepada tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan peruntukan RM100,000," katanya.

Beliau berkata, Maim juga membelanjakan RM300,000 bagi menyediakan 2,300 peralatan pengurusan jenazah yang diagihkan kepada masjid.

Katanya, setiap bulan Maim memberikan bantuan RM350 kepada lebih 8,000 asnaf, terutama bagi menyediakan bahan makanan untuk mereka.

Katanya, sebanyak RM1.3 juta sudah dibelanjakan untuk program sekali bayar kepada asnaf khusus untuk membantu mereka menyambut Aidiladha pada 20 Julai lalu.

Sehubungan itu, beliau menjemput lebih ramai anggota komuniti menginfak harta dan wang kepada Baitulmal bagi membantu meringankan beban asnaf menjalani kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 3:49 PM