DATUK Mior Fatidalathrash Wahid. FOTO BERNAMA
DATUK Mior Fatidalathrash Wahid. FOTO BERNAMA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis Perak mengesahkan ada menerima dua laporan masing-masing dibuat oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai serta Pegawai Pendidikan Kesihatan Daerah, hari ini.

Ia berhubung berita palsu kononnya dua pelajar sekolah itu meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Fatidalathrash Wahid berkata, laporan yang dibuat adalah berhubung dengan ketidakpuasan hati terhadap dakwaan kematian dua pelajar berkenaan.

Beliau berkata, susulan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, di samping Seksyen 505(b) kanun yang sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

"Siasatan awal mendapati kematian kedua-dua pelajar sekolah berkenaan disahkan sebelum Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja dilaksanakan di Perak iaitu bermula 20 September lalu.

"Pelajar pertama meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat masalah kesihatan iaitu kencing manis selain didapati positif Covid-19. Dia adalah pelajar perempuan Tingkatan 5 yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Sementara itu pelajar kedua adalah pelajar lelaki juga Tingkatan 5 yang meninggal dunia pada 17 September lalu di HRPB disebabkan masalah kesihatan jantung berlubang. Dia juga masih belum menerima suntikan imunisasi vaksin Covid-19," katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, tular klip video berdurasi satu minit 38 saat memaparkan seorang wanita sedang berucap kepada sekumpulan individu sebagai tanda solidariti untuk menuntut hak supaya pelajar sekolah tidak diwajibkan mengambil vaksin Covid-19.

Dalam ucapannya, wanita itu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan vaksin, selain dua lagi pelajar di lokasi berlainan termasuk di Lahad Datu, Sabah, serta dua lagi remaja di Ipoh yang mengalami alahan serius selepas divaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 10:06 PM