AMINUDDIN pada sidang media di Wisma Negeri. FOTO Mohd Amin Jalil
AMINUDDIN pada sidang media di Wisma Negeri. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: Semua pusat pemberian vaksin (PPV) awam di Negeri Sembilan akan ditutup sepenuhnya pada 15 Oktober ini selepas negeri itu mencapai imuniti berkelompok ditetapkan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selepas daripada tarikh itu, program vaksinasi Covid-19 akan dilaksanakan di hospital awam dan klinik kesihatan (KK).

Menurutnya, Negeri Sembilan setakat ini mencatatkan 866,052 individu yang menerima vaksin dos pertama, manakala individu yang sudah melengkapkan kedua-dua dos adalah seramai 789,129 orang.

"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang lancar dan berkesan membantu Negeri Sembilan mencapai imuniti berkelompok, malah buat julung kali kes baharu Covid-19 merekodkan dua digit iaitu 89 kes yang direkodkan semalam.

"Program vaksinasi yang dijalankan secara terus (walk-in) di PPV awam sejak 20 September lalu juga berjalan lancar apabila berjaya membuat suntikan kepada 9,691 individu dengan purata suntikan sehari lebih 1,000 orang.

"Suntikan itu membabitkan 1,267 orang dos kedua, manakala 5,981 suntikan dos pertama dan sebanyak 2,443 adalah vaksinasi ke atas remaja di bawah 17 tahun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan insentif penyertaan berjumlah RM1,000 sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada dua pengurusan perumahan strata iaitu Taman Seremban Putra dan Desa Palma di sini, yang berjaya ke peringkat pencalonan akhir Pertandingan Komuniti Bandar Zon Hijau Covid-19.

Pertandingan itu adalah anjuran bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Aminuddin berkata, esok adalah hari terakhir pemberian vaksin walk-in berkenaan dan pihaknya berharap mereka yang belum mendapatkan suntikan supaya memanfaatkan peluang itu untuk melakukan vaksinasi.

Mengenai kedudukan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam, beliau berkata, PKRC Nilai akan ditutup esok selepas kawasan Seremban dan Nilai hanya merekodkan 40 kes baharu Covid-19 semalam.

"Kes baharu Covid-19 di lokasi lain termasuk Jempol (31), Port Dickson (10), Jelebu (4), Tampin (3), Kuala Pilah (1) dan tiada kes bagi daerah Rembau.

"Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat negeri ini yang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun harus berhati-hati kerana terdapat varian-varian baharu yang tidak kita ketahui dan boleh mengundang penyakit," katanya.

Menurutnya, ketika ini PKRC yang masih beroperasi adalah di Tampin dengan kapasiti 224 katil dan terdapat 213 pesakit pada masa ini membabitkan rakyat tempatan.

"PKRC swasta yang beroperasi setakat ini pula adalah di Megalink Zahra di Nilai membabitkan 53 orang dan Klana Beach Resort di Port Dickson (37 orang)," katanya.

Sementara itu, beliau berharap pemilik premis perniagaan di negeri itu diminta mengamalkan budi bicara terhadap warga usia emas yang sudah lengkap daksin tetapi tidak mempunyai aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis mereka.

Tegasnya, terdapat aduan daripada golongan itu yang tidak dibenarkan berbuat demikian kerana hanya mempunyai kad vaksinasi sahaja.

"Saya berharap pihak berkenaan seperti di pasar awam ataupun kedai memberi kelonggaran kepada golongan ini untuk membenarkan mereka membeli barang keperluan harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 4:45 PM