MIOR Faridalathrash. FOTO Bernama.
MIOR Faridalathrash. FOTO Bernama.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menafikan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini, meninggal dunia kerana vaksin Covid-19 seperti tular di media sosial.

Sebaliknya, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pelajar berkenaan masing-masing meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19 dan masalah jantung, sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula.

Katanya, kematian pertama direkod pada 18 Julai lalu membabitkan pelajar perempuan sekolah itu yang positif Covid-19 dan turut menghidap kencing manis serta darah tinggi.

"Dia dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan sudah berada dalam keadaan kritikal selama dua bulan.

"Kematian kedua pula pada 17 September lalu iaitu pelajar lelaki yang disebabkan sakit jantung. Jadi maklumat tersebar itu tidak benar dan mengelirukan.

"Memang pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia tetapi bukan disebabkan suntikan vaksin Covid-19. Kedua-duanya kejadian tiada kena mengena dengan vaksin (memandangkan) program vaksinasi PICK-R bermula 20 September lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan memanggil individu dikaitkan dengan video tular itu bagi membantu siasatan kerana menyebar maklumat yang menimbulkan kegusaran awam.

Sebelum ini video berdurasi satu minit 38 saat tular di media sosial yang menunjukkan wanita sedang berucap kepada sekumpulan individu menuntut supaya pelajar sekolah tidak diwajibkan mengambil vaksin imunisasi Covid-19.

Wanita itu mendakwa dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan vaksin Covid-19, selain menyebut dua lagi pelajar di lokasi berlainan dan ada remaja yang mengalami alahan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 3:02 PM