PROJEK HSR dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan. FOTO Arkib NSTP
PROJEK HSR dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan antara Singapura dan Kuala Lumpur perlu diteruskan semula dengan nafas baharu bagi menarik minat dunia terhadap negara ini.

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak berkata, pelaksanaan projek HSR yang bakal menghubungkan dua ekonomi terbesar Asean itu perlu mengikut konsep dan perancangan asal di samping memberi nafas baharu kepada koridor selatan Semenanjung seperti Iskandar Malaysia, Batu Pahat, Muar, Melaka dan Seremban.

"Semasa pembinaan, projek HSR dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung serta selepas HSR siap beroperasi, ia mampu memberi keuntungan ekonomi 1.6 bilion dolar Amerika Syarikat (USD) setahun mengikut kaji selidik Institute of Developing Economist Japan dengan syarat landasan perlu dihubungkan dengan Singapura.

"Menggantikan projek HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Johor Bahru akan menjadikan projek ini tidak 'viable' dan merugikan negara apabila perlu membayar subsidi berbilion-bilion.

"Mengembalikan projek HSR kepada perancangan asal dapat menghidupkan semula projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion dari segi 'gross development value'," katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini, tadi.

Katanya, tanggungjawab dan pemilikan projek pembangunan itu perlu diberikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) selepas melihat prestasi dua badan itu dalam menjayakan projek pembangunan terdahulu di United Kingdom.

"Sekiranya ia berlaku, saya cadangkan ia dijenamakan semula sebagai Bandar Asean supaya meletakkan Malaysia menjadi pusat Asean dalam usaha menarik perhatian komuniti antarabangsa.

"Jika projek ini diserahkan kepada KWSP dan PNB, menaikkan semula caruman bulanan majikan dan pencarum serta mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat di mana baki simpanan lebih rendah akan menerima dividen lebih tinggi supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya penekanan pembangunan Sabah dan Sarawak dirangkumkan di bawah konsep Pandang ke Borneo yang akan memberi kefahaman kepada rakyat dan berupaya menarik minat pelabur dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:19 PM