Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: "Saya meraba-raba dalam kegelapan untuk mencari pintu dan hampir pengsan tepi saya gagahkan diri untuk menyelamatkan diri," kata Mohd Raziq Azrai Rosman, 19, salah seorang daripada enam sekeluarga yang melecur dalam kejadian kebakaran rumah di Jalan Makmur, Pasir Panjang, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, selain Mohd Raziq, bapanya, Jumri Manap, 41, serta ibu, Jurina Aziz, 46 dan tiga adiknya, Nor Hidayah, 17; Nor Ain Jamalina, 12 dan Muhammad Jazel Hidayat,8

Menurut Mohd Raziq, kejadian berlaku ketika semua ahli keluarga sedang tidur sebelum bapanya terjaga selepas mendengar bunyi letupan dipercayai dari dapur dan bergegas mengejutkannya di bilik sebelah.

"Saya, bapa, ibu dan adik bongsu keluar melalui pintu hadapan. Dalam masa sama, Nor Hidayah dan Nor Ain masih di bilik tidur.

"Saya meraba-raba dalam kegelapan untuk mencari pintu. Dengan keadaan hampir pengsan, saya gagahkan jua demi nyawa kami sekeluarga.

"Kami berjaya keluar dan duduk di halaman rumah jiran yang berdepan dengan rumah kami. Pada masa sama, saya nampak Nor Hidayah menendang tingkap bilik tidur dan berjaya keluar diikuti Nor Ain.

"Bapa hanya mampu melaungkan kalimah Allahuakbar beberapa kali. Syukurlah Allah SWT menyelamatkan kami dari musibah yang tidak disangka ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Raziq berkata, mereka menyewa rumah itu hampir dua tahun dan terkilan tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

Katanya, empat motosikal yang diletakkan di dapur dan belakang rumah serta kereta Proton Wira milik bapanya turut terbakar.

Dalam pada itu, Mohd Raziq Azrai berkata, Nor Ain dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) manakala kedua ibu bapanya dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Manakala dia, Nor Hidayah dan Muhammad Jazel Hidayat tinggal sementara di rumah keluarga di Kampung Tali Air 10, Pasir Panjang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.04 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 16 pegawai dan anggota bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan BBP Sungai Besar dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, api berjaya dikawal pada 3.32 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 4.15 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:11 PM
KEADAAN rumah enam sekeluarga yang musnah dalam kebakaran di Jalan Makmur, Pasir Panjang, awal pagi tadi. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN rumah enam sekeluarga yang musnah dalam kebakaran di Jalan Makmur, Pasir Panjang, awal pagi tadi. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin